Apakah itu Radio Amatur?
Radio Amatur ataupun juga dikenali sebagai Ham Radio" ialah hobi berkenaan membina, menguji-kaji dan berkomunikasi melalui radio. Pengguna-pengguna Radio Amatur ini saling berhubungan dengan rakan-rakan mereka seluruh dunia melalui beberapa set-set frekuensi radio yang telah ditetapkan.
Apakah yang boleh saya lakukan dengan Radio Amatur?
Tidak seperti teknologi perhubungan lain, Radio Amatur membolehkan anda berhubung dari mana-mana tempat, kemana-mana tempat, pada setiap masa. Pada waktu-waktu bencana, Radio Amatur amat berguna, terutamanya kepada agensi-agensi penyelamat. Pada ketika lain, anda juga kadang kala boleh bercakap dengan para angkasawan atau membalikkan isyarat dari bulan. Anda juga boleh menghantar fail ataupun gambar secara digital. Adakah hobi lain yang menyediakan ciri sebegitu seperti hobi ini?
Saya sentiasa sibuk. Adakah saya masih boleh menikmati hobi ini?
Sudah tentu. Hobi ini tidak terikat kepada sesuatu masa, tempat dan pendapatan seseorang. Memandangkan ianya mudah dikendalikan, ramai yang sentiasa sibuk mendapati ianya seronok digunakan dan mengurangkan tekanan selepas seharian bekerja. Anda dan juga keluarga anda juga boleh berkumpul dan mempelajari hobi ini.
Bilakah Radio Amatur bermula?
Sejarah Radio Amatur ini telah bermula semenjak perhubungan radio digunakan. Pada tahun 1912, Kongress Amerika Syarikat telah meluluskan undang-undang pertama bagi mengawal selia pemancaran radio di Amerika Syarikat. Bermula 1914, pengguna Radio Amatur telah mula berkomunikasi dan mengadakan satu sistem penghantaran mesej di antara mereka. Di Malaysia, radio amatur merupakan titik bermulanya perkhidmatan radio komersil.
Bagaimana saya boleh menjadi seorang operator Radio Amatur?
Hanya mereka yang telah diperakukan sahaja dibenarkan untuk mengendalikan sesuatu alat Radio Amatur. Bagi mendapatkan Sijil Perakuan, anda haruslah warganegara Malaysia berusia 14 tahun ke atas dan lulus ujian-ujian berikut:
Ujian Teori Radio dan Kefahaman Peraturan Radio bagi Sijil Perakuan Kelas B; atau
Ujian Sijil Perakuan Kelas B dan juga lulus ujian Kod Morse bagi Sijil Perakuan Kelas A.
Siapakah yang mengeluarkan Sijil Perakuan itu?
Sijil Perakuan tersebut dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia kepada mereka-mereka yang telah lulus ujian yang ditetapkan.
Siapa yang boleh membantu saya?
Kelab-kelab Radio Amatur terdapat di seluruh Malaysia dan bersedia untuk membantu anda. Ada di antara kelab-kelab tersebut mempunyai halaman web yang mengandungi makiumat mengenai hobi tersebut. Salah satu contoh adalah halaman web ASTRA, PERAMAH, MARES, PARTS dll.
Adakah saya perlu membayar yuran?
Sijil Perakuan tersebut haruslah diperbaharui setiap tahun. Yuran tahunan bagi Sijil Perakuan Kelas A adalah sebanyak RM36 dan bagi Sijil Perakuan Kelas B, yurannya adalah sebanyak RM24 setahun.
Apakah perbelanjaan yang diperlukan bagi hobi ini?
Sebuah radio bersaiz telapak tangan yang baru mungkin sama harganya dengan satu TV 19 inci yang berkos rendah. Radio yang lebih besar adalah sama kosnya dengan satu komputer peribadi. Selain dari itu, bahan-bahan pembelajaran berkenaan Radio Amatur adalah mudah didapati dari internet dan sekiranya perlu untuk dibeli, harganya adalah berpatutan. Yuran peperiksaan bagi mendapatkan Sijil Perakuan juga adalah rendah. Secara alternatif, sekiranya anda cenderung untuk menguji-kaji, seperti kebanyakan pengguna Radio Amatur atau "Ham Radio", anda boleh membuat unit radio anda sendiri.
Wednesday, December 24, 2008
Subscribe to:
Posts (Atom)